§ PASARAN saham tempatan kekal lemah hari ini dalam jajaran antara 1,229 hingga 1,237 mata berikutan tiada petunjuk baru yang mampu mencetuskan kenaikan. Sejak awal minggu, harga-harga saham di Bursa Malaysia ditutup kebanyakannya rendah dengan aktiviti jualan pada kaunter-kaunter mewah terpilih serta saham-saham murah.
§ Namun dengan aktiviti belian yang sederhana telah diimbangi oleh kerugian yang dicatatkan oleh saham wajaran tinggi, di pengakhir urusniaga hari ini; penutup Indeks KLCI sekali lagi dilihat turun sedikit hampir 2 mata untuk ditutup pada paras 1,229 mata. Di awal sessi pagi ia telah pun menokok 6 mata sebelum kembali merosot terus kedaerah negatif hingga ke pengakhir waktu dagangan sama seperti dagangan semalam.
§ Sentimen semasa pasaran tempatan adalah lemah ekoran jangkaan kenaikan inflasi dan kos perniagaan yang menjejaskan margin serta keuntungan syarikat, keadaan yang tidak menentu ini menyebabkan para pelabur lebih selesa untuk berada di luar pasaran sementara waktu sambil menantikan petunjuk pencetus kenaikan baru.
§ Nafas pasaran agak negatif; 346 saham yang rugi mengatasi 287 yang untung, manakala 257 kaunter lain tidak berubah dan 455 lagi tidak diniagakan. Jumlah dagangan hari ini juga kurang sedikit sejumlah 443 juta saham bernilai hanya RM1.2 billion, berbanding semalam 454 juta saham bernilai hanya RM1.2 billion.
§ Mendahului saham paling aktif antaranya IOI Corp naik 10 sen kepada RM7.00, saham Tenaga Nasional naik 10 sen kepada RM8.50, Resorts World turun 9 sen kepada RM2.90, Saham Telekom Malaysia diniagakan jatuh 4 sen kepada RM3.14 dan Air Asia turun setengah sen kepada kepada 89.5 sen.
§ Di kalangan saham berwajaran tinggi Genting jatuh 20 sen kepada RM5.45, di ikuti oleh IOI Corp yang juga merosot, kemudian Sime Darby juga turun 10 sen kepada RM9.00, Saham Public Bank merosot 10 sen kepada RM10.80 dan RHB Capital susut 12 sen kepada RM4.74. Manakala saham Tenaga Nasional mendahului peningkatan saham berwajaran tinggi dan Sarawak Energy turut meningkat 24 sen kepada RM3.30.
§ Menuju kehadapan, para pelabur masih menganggap pembelian ekuiti secara amnya berisiko tinggi, kecuali dalam syarikat berkaitan minyak dan gas, semalam peningkatan harga-harga saham di Wall Street sangat minimal hanya meningkat 9 mata indeks. Indeks purata Industri Dow Jones meningkat ditutup pada paras 12,290 mata berikutan harga minyak global yang kembali susut ke bawah paras AS$135 setong semalam mungkin menjadi faktor penyumbang kepada kenaikan pasaran jika aliran harga bahan api terus susut pada hari berikutnya.
§ Dalam pada itu, PAKAR industri minyak menjangkakan harga minyak mentah akan melonjak sehingga AS$150 setong dalam tempoh dua bulan ini, ia bakal dirangsang pertambahan permintaan dan spekulasi pedagang komoditi. Walaupun harga yang tinggi kebiasaannya memberi kesan kepada pertumbuhan permintaan, namun ia diimbangai penyertaan beberapa gergasi ekonomi baru dalam industri.
§ Bukan saja pertambahan permintaan dari Amerika malah sudah muncul beberapa negara utama Asia seperti pertumbuhan permintaan yang pesat di China, India dan negara Asia Barat. Untuk rekod: Jumaat lalu, penanda aras kontrak hadapan minyak mentah telahpun mencecah paras tertinggi dalam sejarah, iaitu USD$139 setong di New York dan USD138 setong di London.Akhir sekali, KLCI masih di ramal bakal didagangkan dalam momentum negatif dan kemungkinan menuju ke arah paras psikologi 1,200 mata tidak lama lagi sekiranya pasaran luar terus menjadi semakin teruk. Minat dagangan dijangka kekal rendah dengan peningkatan keadaan tidak menentu di seantero pasaran-pasaran dunia.
§ Dengan catatan itu, sekian dulu dari saya, Shahbandar, melaporkan untuk Saham Malaysia,--Memacu--Pelaburan--Negara!--
Tiada ulasan:
Catat Ulasan