Khamis, 12 Jun 2008

Laporan Saham 12 Jun 2008

Salam Sejahtera, 12 Jun 2008–

§ Semalam, harga-harga saham di Wall Street merudum 206 mata atau dalam lingkungan 1.7 peratus, berikutan harga minyak mentah Dunia kembali menunjukkan peningkatan menghampiri ketinggian sebelumnya, lantas telah menghambat kebimbangan kadar inflasi bertambah tinggi dan kesannya terhadap para pengguna kelak.

§ Menambahkan kesuggulan di Wall Street; juga dilihat, masih lagi wujud kegawatan dalam sektor kewangan di Amerika. Akhbar, The Financial Times telah melaporkan bahawa Lehman Brothers bakal memerlukan peningkatan jumlah modalnya dan ini telah menghantar harga saham Bank Pelaburan tersebut terus tersungkur. Jurucakap Lehman pula enggan memberi sebarang ulasan. Harga saham Lehman telahpun susut 30 peratus; penyusutan dalam tempoh 4 hari dagangan.

§ Dalam pada itu, SAHAM di Bursa Malaysia terus diniagakan dalam wajaran sempit hari ini dengan indeks utama kekal rendah, sebahagian besar pelabur mengambil pendirian untuk tidak memasuki pasaran sambil menunggu sentimen kukuh yang mampu menjadi penggerak baru pasaran.

§ Kenaikan harga minyak dunia semalam ke paras USD$138 setong bagi penghantaran Julai juga memberikan impak kepada sentimen pelabur. Keadaan ini diburukkan lagi apabila penganalisis menjangka harga berkemungkinan meningkat kepada AS$150 setong tahun ini.
§ Di awal pagi Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) jatuh serendah hampir 8 mata pada 1,222 mata, tepat pukul 12.30 tengah hari, penanda aras Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) turun hampir 5 mata kepada 1,225 dan ahkirnya di penutup waktu dagangan ia susut hampir 4 mata kepada 1,226 mata.

§ Di pengakhir dagangan, nafas pasaran agak negatif; kaunter rugi mengatasi yang untung; 384 berbanding 243, manakala 266 yang lain tidak berubah dan 451 lagi tidak diniagakan. Jumlah dagangan susut lagi kepada 431 juta saham bernilai RM1.2 bilion berbanding 443 juta saham bernilai RM1.2 bilion semalam.

§ Mendahului saham paling aktif antaranya Transmile Group Berhad naik 19 sen kepada RM1.53, saham Resorts World diniagakan tidak berubah kepada RM2.90, Saham Bumiputra Commerce jatuh 5 sen kepada RM9.05, IOI Corp dan Saham Sime Darby kedua-duanya meningkat 10 sen kepada RM7.10 dan RM9.10.

§ Di kalangan saham berwajaran tinggi Syarikat perkapalan MISC jatuh 10 sen kepada RM9.00, RHB Capital merosot 16 sen kepada RM4.58, MMC Corp juga turun 10 sen kepada RM3.02 dan Saham Maybank merosot 5 sen kepada RM7.30. Manakala saham perladangan IOI Corp dan Sime mendahului peningkatan saham berwajaran tinggi dan diikuti oleh Publik Bank menokok 10 sen kepada RM10.90.

§ Jumlah keseluruhan dagangan pasaran dijangka kekal lemah dengan pelabur terus meminggirkan pasaran disebabkan oleh ketidaktentuan kesan ekonomi terhadap kenaikan harga bahan bakar utama dunia dan paras sokongan penting indeks komposit pula akan kekal pada paras 1,200 mata manakala paras halangan terdekat pada 1,250 mata. Kelemahan sentiment telah dipercepatkan oleh kejatuhan ketara pasaran China kebelakangan ini, ia dilihat menghalang pemulihan sepenuhnya bukan hanya di bursa serantau tetapi juga pasaran tempatan.

§ Menuju kehadapan, sentimen semasa para pelabur pasaran tempatan secara amnya masih menganggap pembelian ekuiti berisiko tinggi, mereka juga tidak mengecualikan jangkaan harga minyak mentah akan melonjak dalam masa terdekat, dan ekoran itu merumuskan jangkaan kenaikan inflasi ketara dan kos perniagaan yang akan menjejaskan margin serta keuntungan syarikat, keadaan yang tidak menentu ini menyebabkan para pelabur lebih selesa untuk berada di luar pasaran sementara waktu sambil menantikan petunjuk pencetus kenaikan berikutnya.
§ Dengan catatan itu, sekian dulu dari saya, Shahbandar, melaporkan untuk Saham Malaysia,--Memacu--Pelaburan--Negara!--

Tiada ulasan: