Isnin, 26 Mei 2008

Laporan Saham 26, May 2008

Salam sejahtera, 26, May 2008; –

§ Harga-harga saham di Bursa Malaysia ditutup rendah lagi hari ini, meneruskan kerugian 5 hari berturut-turut; menyusuli kejatuhan 3 angka di Wall Street Jumaat lalu, Dow Jones merosot 146 mata kepada 12,480 mata.

§ Pembetulan ketara Pasaran saham Wall Street kebelakangan ini, serta maklum balas pasaran terhadap kenaikan ketara harga minyak mentah, ditambah lagi, dengan kembalinya kebimbangan terhadap pasaran kredit Amerika telah menyumbang kepada kesuggulan di Bursa Malaysia.

§ Tidak banyak pemangkin dalam pasaran sekarang ini memandangkan keputusan/prestasi pendapatan korporat dilihat tidak begitu menggalakkan. Namun, kelemahan pasaran pada masa ini bukan hanya tertumpu kepada KLCI semata-mata, malah pasaran-pasaran di Amerika dan serantau juga menerima nasib yang hampir serupa, sambil Dow Jones, dikatakan kini berhadapan dengan pelbagai masalah teknikal.

§ Sementara itu, para pelabur institusi tempatan juga tidak begitu yakin dengan tinjauan pasaran, berikutan lantunan semula Indeks KLCI yang berlaku pada Jumaat lepas tidak kekal lama, sekali gus menyaksikan pasaran bertukar ke zon negatif ketika petutup.

§ Untuk minggu yang baru berakhir, pasaran mengalami beberapa pembetulan setelah ia mencatatkan keuntungan diawal minggu kemudian dilihat pula reaksi para pelabur yang enggan memasuki pasaran atas alasan kekurangan petunjuk baru. Bursa tempatan telah ditutup pada hari Isnin sempena sambutan Hari Wesak. Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, KLCI telah pun susut 26 mata kepada 1,275 daripada 1,300 mata pada Jumaat sebelumnya.

§ Keseluruhan jumlah dagangan minggu lepas turun sedikit kepada 550 juta saham untuk purata sehari, berbanding 560 juta saham minggu sebelumnya, namun, nilai urusniaga bertambah kepada RM1.3 bilion berbanding RM1.2 bilion minggu sebelumnya.

§ Hari ini pula, penanda aras Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) ditutup jatuh 1 setengah mata, atau 0.1 peratus untuk ditutup pada 1,273 mata, dengan Jumlah dagangan hari ini dikatakan kembali rendah sejumlah 459 juta saham bernilai hanya RM906 juta.

§ Di pengakhir urusniaga; Nafas pasaran negatif; saham yang rugi mengatasi yang untung dengan 449 berbanding 215, manakala 235 kaunter lain tidak berubah dan 454 lagi tidak diniagakan.

§ Mendahului saham paling aktif di Bursa Malaysia, MRCB susut 6 sen kepada RM1.45, Maybank turun 10 sen kepada RM7.55, Telekom Malaysia diniagakan tidak berubah kepada RM3.22. Tenaga Nasional naik 10 sen kepada RM6.95, saham Lion Industries turun 15 sen kepada RM2.77 dan TimeCom susut setengah sen kepada 40.5 sen.

§ Di kalangan saham berwajaran tinggi, saham Mayabank mendahului senarai kejatuhan diikuti oleh Public Bank yang rugi 10 sen kepada RM11.60, Sime Darby juga merosot 5 sen kepada RM9.45 dan saham K.L.K. susut 20 sen kepada RM17.60. Manakala saham Bumiputra Commerce naik 10 sen kepada RM9.55 Tenaga juga adalah antara saham berwajaran tinggi yang meningkat dan MISC menokok 5 sen kepada RM9.45.

§ Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) diramal bakal bergerak antara jajaran 1,255 dan 1,288 mata. Harga-harga saham dijangka akan terus menyusur rendah ekoran kebimbangan berhubung ekonomi Amerika dan kadar inflasinya, para pelabur mungkin enggan memasuki pasaran buat seketika sambil menantikan penunjuk-penunjuk jelas sebelum membuka pegangan baru dalam pasaran yang semakin lenggang.

§ Selain dari lanskap faktor luaran yang tidak terkawal, suasana senario politik tempatan juga telah menjejaskan pasaran, umpamanya; pengunduran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dari Umno, sedikit sebanyak menimbulkan sentimen ketidakstabilan politik, dan faktor-faktor yang sedemikian; telah meningkatkan lagi risiko premium pasaran saham tempatan (atau market risk premium), yang dicerminkan oleh nisbah harga-kepada-pendapatan yang kurang dari 13 kali (atau below 13 times P.E./ atau Price Earnings Ratio) berbanding pasaran-pasaran saham serantau lain yang didagangkan dengan nilai yang lebih baik yakni dalam lingkungan nisbah 14 ke 16 kali, kecuali STI Singapura, Indeks Komposit Filipina dan KLCI sendiri.

§ Impak tekanan kos terhadap pendapatan korporat kini semakin nyata; dengan hampir kesemua syarikat mencatatkan pengurangan marjin operasi dalam keputusan kewangan terbaru mereka berbanding tahun lalu. Harga komoditi tinggi adalah faktor utama, terutamanya yang berkaitan dengan arang batu, besi dan komoditi yang berasaskan makanan.

§ Kebimbangan harga minyak mentah yang meningkat melepasi AS$135 setong buat kali pertama hari Khamis minggu lepas, menyaksikan beban untuk membendung tekanan inflasi kian meningkat. Bagi pengguna tempatan, mungkin terdapat sedikit kelegaan apabila harga bahan api tidak akan dinaikkan sehingga September depan.

§ Kerajaan dilihat sedang mengkaji pelbagai cadangan bagaimana boleh mengagihkan subsidi bahan api kepada kumpulan sasar, dan kaedah-kaedah ini bakal diumum pada mesyuarat Bajet 2009 kelak. Pelbagai kaedah cuba diketengahkan termasuk kad pendaftaran khas dan penggunaan MyKad.

§ Sementara itu, prestasi ekonomi negara bagi suku pertama 2008 akan di umum pada Rabu nanti. Pengembangan ekonomi pada suku pertama dijangka sederhana pada 6.3 peratus.

§ Menuju kehadapan, para pelabur institusi dirasakan akan kekal mengambil sikap berhati-hati dengan mengekalkan pandangan samada mengurangkan pendedahan dalam pasaran ekuiti atau cuba bertahan, berikutan keadaan ekonomi Global yang masih mencari-cari petunjuk baru dalam kedudukan harga minyak yang masih melambung tinggi dan kebimbangan tentang pekembangan politik tempatan yang menghantui para pelabur.
§ Dengan catatan itu, sekian dulu dari saya, Shahbandar, melaporkan untuk Saham Malaysia,
--Memacu--Pelaburan--Negara!--

Tiada ulasan: