Khamis, 22 Mei 2008

Lapuran Saham 22, May 2008

Salam sejahtera, 22, May 2008; –

§ Harga-harga saham di Bursa Malaysia ditutup rendah pada hari ini, meneruskan kerugian untuk tiga hari berturut-turut susulan kejatuhan 3 angka semalam di Wall Street; Dow merosot 226 mata kepada 12,602 mata.

§ Aliran menurun juga adalah selari dengan kejatuhan pasaran-pasaran serantau lain apabila pelabur mengambil untung kerana bimbang berlaku inflasi berikutan harga minyak mentah yang mencecah rekod baru pada AS$134 setong serta kebimbangan terhadap pengaruh politik tempatan yang agak menjejaskan pasaran.

§ Pada penutup, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) turun 4 mata atau 0.3 peratus kepada 1,277 selepas dibuka 7 mata lebih rendah pada 1,274 mata.

§ Di pengakhir urusniaga; Nafas pasaran negatif; saham yang rugi mengatasi yang untung dengan 383 berbanding 263, manakala 243 kaunter lain tidak berubah dan 468 lagi tidak diniagakan. Jumlah dagangan hari ini dikatakan kembali rendah sejumlah 487 juta saham bernilai hanya RM1.1 billion, berbanding 530 juta saham bernilai RM1.3 bilion semalam.

§ Selain dari lanskap faktor luaran yang tidak terkawal telah mengundang perubahan ketara turun naik pasaran-pasaran serantau; juga kebimbangan scenario politik domestik yang dapat dirasai rata-rata para pelabur. Aliran menurun ini mungkin boleh berterusan, namun ia dijangka tidak membabitkan penjualan besar-besaran kerana mujurlah para pelabur runcit masih lagi meminggirkan pasaran tempatan.

§ Bagaimanapun, kerugian mungkin terhad sekiranya muncul petunjuk-petunjuk positif, kini paras sokongan realistik berikut bagi kayu ukur penanda aras Indeks KLCI dijangka berada pada paras 1,253 mata.

§ Mendahului saham paling aktif di Bursa Malaysia, YTL Power-Warrants susut 4.5 sen kepada 65 sen, Telekom Malaysia susut lapan sen kepada RM3.30, manakala saham Liqua diniagakan tidak berubah kepada 15.5 sen, Air Asia pula naik 2 sen kepada RM1.10, MRCB susut 4 sen kepada RM1.50, YTL Power turun 1 sen kepada RM2.15 dan Ramunia jatuh 2 sen kepada RM1.45.

§ Di kalangan saham berwajaran tinggi, saham Maybank rugi 10 sen kepada RM7.65, Public Bank turun 10 sen kepada RM11.50 dan Bumiputra Commerce susut 10 sen kepada RM9.35, Saham K.L.K. jatuh 30 sen kepada RM17.60, dan YTL Corp turun 15 sen kepada RM7.45. Manakala saham IOI Corp meningkat 10 sen kepada RM7.40 dan Petronas Dagangan turut naik 35 sen kepada RM8.50.

§ Para pelabur institusi dirasakan kekal mengambil sikap berhati-hati, berikutan keadaan ekonomi Global yang masih mencari-cari petunjuk baru berikutan harga minyak yang melambung tinggi.

§ Menuju kehadapan, arus pasaran dijangka akan didagangkan dalam keadaan terlalu banyak ketidakpastian seperti turun naiknya nilai matawang dolar Amerika dan kesan krisis kredit yang masih diragui penyudahannya, ramai di antara pemain pasaran cuba memahami isu-isu negatif yang masih wujud, sambil mengenal pasti bahawasanya siri-kejatuhan sebelum ini, mungkin bersifat sementara?

§ Atau mungkin berikutan kejatuhan yang tidak ketara, para pelabur berpendapat sekarang adalah masa yang sesuai untuk secara senyap mengumpul saham-saham bermutu, para pelabur terutama dana-dana yang besar kini dirasakan melihat nilai yang lebih baik pada kebanyakan saham-saham tersenarai.

§ Jadi, jika pasaran mengalami pembetulan lebih jauh lagi, ia dianggap sebagai masa terbaik untuk mendapatkan harga-harga rendah sambil menjangka rangsangan pembelian susulan bisa belaku dan sentiment semasa pasaran tempatan mampu diperbaik pulih oleh pihak-pihak yang berwajib.

§ Dengan catatan itu, sekian dulu dari saya, Shahbandar, melaporkan untuk Saham Malaysia,
--Memacu--Pelaburan--Negara!--

Tiada ulasan: