Selasa, 27 Mei 2008

Laporan Saham 27, May 2008

Salam sejahtera, 27, May 2008; –

§ Pergerakkan mendatar harga-harga saham di Bursa Malaysia telah menyaksikan pasaran yang agak lengang, KLCI yang berada dalam zon negative hampir disepanjang hari di tolak naik oleh belian-belian kukuh hanya di saat-saat akhir waktu urusniaga; KLCI meningkat kurang dari 1 mata, atau 0.07 peratus untuk ditutup pada 1,274 mata, dengan Jumlah dagangan hari ini dikatakan kekal rendah hanya 433 juta saham bernilai RM1 billion, seiring semalam sejumlah 459 juta saham bernilai hanya RM906 juta.

§ Di pengakhir urusniaga; Nafas pasaran negatif; saham yang rugi mengatasi yang untung dengan 377 berbanding 273, manakala 274 kaunter lain tidak berubah dan 429 lagi tidak diniagakan. Antara kaunter aktif, YTL Power-waran naik 7.5 sen kepada 73 sen, AirAsia turun 7 sen kepada RM1.01, IOI Corp turun 20 sen kepada RM7.20 Magnum turun 2 sen kepada RM3.42, Telekom Malaysia jatuh 4 sen kepada RM3.18, Gamuda menokok 2 sen pada paras RM3.12 dan Gula Perak turun setengah sen kepada 6 sen. Antara saham berwajaran tinggi, Maybank menokok 10 sen kepada RM7.60, Syarikat perkapalan MISC naik 10 sen kepada RM9.55 dan Petronas Dagangan meningkat 35 sen kepada harga RM8.50, manakala IOI Corp mendahului kejatuhan diikuti Bumiputra Commerce turun 10 sen kepada RM9.50 dan Tenaga Nasional turun 5 sen kepada RM6.90.

§ Pasaran-pasaran Amerika dan serantau tidak menggalakkan minggu lepas dengan Indeks Purata Industri Dow Jones telah susut 3.9%. Di permulaan minggu ini, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) didagangkan dalam dagangan lengang 2 hari berturut-turut, mungkin cuti sekolah dua minggu, juga turut mempengaruhi para pelabur untuk berehat sehingga muncul perubahan besar sebelum memasuki pasaran semula. Harga-harga saham Bursa tempatan pula masih diramal ramai akan didagangkan rendah ekoran kebimbangan menyelubungi ekonomi Amerika dan lanskap politik tempatan yang telah menimbulkan sentimen ketidakstabilan yang meningkatkan lagi risiko premium pasaran saham tempatan.

§ Dalam pada itu, JAWATANKUASA Dasar Monetari Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.50 peratus. Bank Negara menyatakan ekonomi terus menunjukkan prestasi baik dalam tempoh suku pertama 2008 didorong permintaan dalam negeri yang kukuh. Namun, terdapat risiko peningkatan yang kukuh bagi inflasi global disebabkan harga makanan dan tenaga yang terus tinggi.

§ Bagaimanapun, sekarang ini terdapat bukti tanda lebih jelas pertumbuhan ekonomi utama dunia menjadi perlahan. Pertumbuhan ekonomi yang sederhana ini dijangka memberikan kesan terhadap ekonomi serantau, termasuk Malaysia pada separuh kedua tahun ini. Walaupun terdapat petunjuk pertumbuhan global yang perlahan, harga komoditi dan makanan meningkat secara berterusan. Harga minyak telah meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan inflasi harga pengguna dalam negeri meningkat kepada tiga peratus pada April 2008 dan didorong terutama oleh harga makanan yang lebih tinggi.

§ Sepekara lagi, kebimbangan juga wujud pada impak tekanan kos terhadap pendapatan korporat; dengan hampir kesemua syarikat mencatatkan pengurangan marjin operasi dalam keputusan kewangan terbaru mereka. Sementara tekanan sebegini dijangka menurun sekiranya pertumbuhan global menjadi sederhana, tekanan harga dalam negeri dijangka masih berterusan dalam tempoh terdekat.

§ Kebimbangan tentang pekembangan politik tempatan yang menghantui para pelabur harus ditangani Kerajaan-kerajaan memerintah segera; dengan mengkaji pelbagai cadangan; bagaimana para pelabur dapat merasakan dihargai supaya cuba terus bertahan dan mengekalkan pegangan dalam pasaran ekuiti, berikutan keadaan ekonomi Global yang masih mencari-cari petunjuk baru dalam kedudukan harga minyak yang masih melambung tinggi.
§ Dengan catatan itu, sekian dulu dari saya, Shahbandar, melaporkan untuk Saham Malaysia,--Memacu--Pelaburan--Negara!--

Tiada ulasan: