Khamis, 15 Mei 2008

Lapuran Saham 15, May 2008

Salam sejahtera, 15, May 2008; – Khamis

§ Harga-harga saham di Bursa Malaysia ditutup tinggi pada hari ini di sebalik kegiatan pengambilan untung di kalangan saham mewah terpilih terutama di disessi pertama waktu dagangan.

§ Pada penutup Indeks KLCI menokok hampir 6 mata atau setengah peratus untuk ditutup pada paras 1,294 mata. Di suatu ketika ia telah pun memasuki daerah negatif sebelum kembali meningkat dan akhirnya ditutup tinggi.

§ Sekali lagi dilihat saham-saham berharga rendah turun akibat pelabur runcit dan sebahagian pelabur asing melepaskan pegangan mereka, manakala kegiatan pelabur institusi terutama institusi tempatan pula memancing saham-saham berwajaran tinggi dalam suasana yang sangat berhati-hati.

§ Pelabur runcit dilihat terus-terusan cuba meminggirkan pasaran, manakala para pelabur institusi dirasakan kekal mengambil sikap berhati-hati, berikutan keadaan ekonomi Global yang masih mencari-cari petunjuk baru.

§ Di pengakhir urusniaga; Nafas pasaran positif; saham yang untung mengatasi yang rugi dengan 354 berbanding 310, manakala 289 kaunter lain tidak berubah dan 406 lagi tidak diniagakan. Jumlah dagangan hari ini dikatakan kembali serdehana sejumlah 590 juta saham bernilai hanya RM1.2 billion, berbanding semalam 605 juta saham bernilai RM1.2 billion.

§ Mendahului saham paling aktif antaranya Resort World naik 2 sen kepada RM3.32, Saham I.E. turun setengah sen kepada 17.5 sen, RCE Capital yang diniagakan naik 5.5 sen kepada 70 sen dan Leader Steel jatuh 8 sen kepada 88 sen.

§ Di kalangan saham berwajaran tinggi Sime Darby menokok 25 sen kepada RM9.75, Saham Public Bank naik 20 sen kepada RM11.80, IOI Corp juga naik 10 sen kepada RM7.45, Maybank meningkat 5 sen kepada RM11.20 dan RHB Capital meningkat 10 sen kepada RM5.15. Manakala saham DiGi.Com jatuh 60 sen kepada RM24.20 dan MISC Berhad turut turun 5 sen kepada RM9.45.

§ Menuju kehadapan, arus pasaran dijangka akan tetap didagangkan tidak menentu; terlalu banyak ketidakpastian yang bakal timbul sekiranya harga komoditi kekal tinggi apabila Dollar terus mengukuh.

§ Selain dari lanskap politik yang tidak menentu faktor luaran yang tidak terkawal telah mengundang perubahan ketara turun naik pasaran; seperti turun naiknya dolar Amerika dan kesan krisis kredit yang masih diragui penyudahannya, ditambah pula dengan kenaikan harga minyak mentah yang telah melambung tinggi.

§ Realitinya; persekitaran perniagaan dan pelaburan di Malaysia secara umumnya tidak menerima kesan besar-besaran, malah sesetengah sektor, seperti sektor perladangan, minyak dan gas, serta perlombongan tetap diramal akan terus meningkat tinggi pada tahun ini.

§ Buat masa ini, ramai di antara pemain pasaran cuba memahami isu-isu negatif yang masih wujud, sambil mengenal pasti bahawasanya kejatuhan-kejatuhan sebelum ini, adakah bersifat sementara...? atau mungkin peningkatan semula pasaran juga disebabkan oleh persepsi bahawa para pelabur kini telah mula mendapat petunjuk yang lebih jelas mengenai perkembangan di Amerika dan pasaran serantau.

§ Para PELABUR bakal meneruskan sikap berhati-hati untuk memasuki pasaran esok dan minggu depan; sambil mengikuti rapat pergerakan Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI), sebarang pergerakan yang menyaksikan KLCI melepasi paras psikologi 1,300 mata, mungkin mendorong pelabur untuk memasuki pasaran secara besar-besaran dan begitu juga sebaliknya. Secara umumnya, penanda teknikal dilihat menunjukkan aliran menaik yang kukuh. Walaupun KLCI dijangka mampu bergerak ke arah 1,300 mata, keupayaannya untuk kekal di paras itu, akan bergantung kepada rangsangan pembelian susulan dan sentiment semasa pasaran tempatan.
§ Dengan catatan itu, sekian dulu dari saya, Shahbandar, melaporkan untuk Saham Malaysia,
--Memacu--Pelaburan--Negara!--

Tiada ulasan: